You Are Reading

0

Panglima Salleh Selempang Merah

ArryCode Friday, March 11, 2011

Haji Mohd Salleh bin Abdul Karim (1916 – April 21,1959) dilahirkan di Tanjung Olak Batu, Bukit Pasir, Muar, Johor pada tahun 1916.
 
Dikenali sebagai Penghulu Salleh,Panglima Salleh atau "Kiai Salleh" atau "Panglima Salleh Selempang Merah" merupakan seorang pahlawan Melayu keturunan Banjar yang bangkit menentang kekejaman komunis semasa selepas kekalahan Jepun semasa Perang Dunia II.
 
Kepimpinan Haji Mohd Salleh mula terserlah tahun 1942 kerana kejayaannya menyatupadukan dan memimpin penduduk Melayu daerah Daerah Batu Pahat dari pelbagai suku iaitu Banjar, Jawa, Bugis serta Melayu untuk menentang MPAJA semasa zaman pemerintahan Jepun sehinggalah zaman Pentadbiran Tentera British (BMA) dan zaman darurat.

Kekejaman Askar Bintang Tiga berleluasa di Tanah Melayu termasuk di kawasan Batu Pahat dan Muar di Johor. Masyarakat Melayu di kawasan Parit Sulong, Batu Pahat, Johor, yang pada ketika itu tidak mempunyai kelengkapan senjata api untuk mempertahankan diri telah memilih Haji Mohd Salleh untuk memimpin pakatan untuk mempertahankan diri dari kekejaman Askar Bintang Tiga.

Bintang Tiga juga menmperkenalkan peraturan-peraturan yang menyebabkan Orang Melayu menjadi marah dan bangkit menentang mereka. Antara peraturan-peraturan tersebut ialah:- 
* Mengutip cukai wang dari penduduk Batu Pahat berketurunan Melayu, Cina dan India dengan tinggi sekali.
* Memaksa penduduk tempatan menyerahkan hasil tuaian kepada MPAJA.
* Merompak hasil tuaian, tanaman dan ternakan penduduk kampong.
* Menculik wanita muda tidak kira anak dara, janda atau isteri orang untuk dijadikan anggota komunis dan penggalak zuriat.
* Memaksa penduduk tempatan menyertai MPAJA dengan tanpa alasan.
* Menyerang kampong dan membunuh orang awam yang tidak berdosa tanpa alasan.
* Mengadakan Mahkamah Rakyat yang tidak adil melaksanakan hukuman.
* Melarang orang Islam bersolat berjemaah dengan alasan membuang masa 

Dengan hanya bersenjatakan parang panjang dan amalan Ayat Empat, Haji Mohd Salleh telah memimpin masyarakat Batu Pahat untuk menggempur kubu-kubu Askar Bintang Tiga di Bukit Berdiri dan Bukit Alam, Parit Sulong, Parit Lubok, Semerah, Kangkar Senanga, dan Ayer Kuning, Bakri, Muar. 
 
Pasukan pejuang di bawah pimpinan Haji Mohd Salleh terkenal dengan gelaran tentera parang panjang dan 'Selempang Merah iaitu sejenis kain selendang berwarna merah yang dibekalkan kepada setiap orang ketika menghadapi atau berhadapan dengan musuh.

Kegagahan dan keberanian, Haji Mohd Salleh diiktiraf oleh Kebawah Duli Sultan Johor Almarhum Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar yang bertitah pada 26hb Disember 1945 bahawa Haji Mohd Salleh adalah Panglima Melayu. Sejak itu Haji Mohd Salleh mendapat gelaran Panglima.

Sebagai mengenang jasa Haji Mohd Salleh, DYMM Sultan Johor telah mengurniakan beliau Pingat Ibrahim Sultan (PIS)pada 17hb September 1955. Haji Mohd Salleh menghembuskan nafas yang terakhir kerana diserang penyakit radang paru-paru di Hospital Besar Johor Bahru pada 21hb April 1959. 
 
Nota:
Tentera Selempang Merah berasal dari Johor, di bawah pimpinan seorang kiai yang bernama Kiai Salleh yang penuh dengan ilmu kebatinan Melayu.

Tentera Selempang Merah ini menjadi terkenal selepas kekalahan tentera Jepun. Apabila Bintang Tiga mengamuk den membunuh tokoh agama dan pemimpin kampung, Tentera Selempang Merah tampil mempertahankan masyarakat Melayu dengan menyerang komunis dan tali barut mereka. 
 
Pergerakan ini membantu membantutkan kekejaman komunis sehinggalah kehadiran kembali Tentera British ke Tanah Melayu selepas Perang Dunia II. 
 
Sewaktu kejadian 13 Mei, pasukan ini datang dari Johor untuk membantu orang melayu di Kuala Lumpur, bagaimanapun telah ditahan oleh pihak polis sebelum sempat membantu.
 

0 comments:



 
Copyright 2010 ArryCode_Blog